KAJANG – Seramai 22 daripada 27 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 lulus dalam mata pelajaran yang diambil.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, calon tersebut terdiri daripada 20 klien dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kedah, enam dari PUSPEN Papar, Sabah dan seorang dari PUSPEN Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Menurutnya, kesemua mereka mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) yang merangkumi Program Akses Pendidikan Klien (PAPK), khusus untuk klien bawah 18 tahun sebagai peluang kedua dalam pendidikan.
“Menerusi program PAPK ini, klien mengikuti jadual pembelajaran yang sistematik dengan bimbingan guru berpengalaman serta sokongan pejabat pendidikan daerah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, program itu membuka peluang kepada klien mendapatkan pendidikan formal bagi menjamin masa depan mereka.
“Kesemua klien yang lulus berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi seperti IKM, ILP, IKBN, GiatMara dan Politeknik,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif itu juga memberi ruang kepada klien mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persediaan membina kehidupan baharu serta mengekalkan kepulihan.
“PAPK membuktikan keciciran dalam pendidikan bukan pengakhiran, sebaliknya masih ada peluang untuk berubah,” katanya.
Enam mata pelajaran yang diambil klien ialah bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik, sejarah serta pendidikan Islam atau pendidikan moral. – MalaysiaGazette
















