Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menyaksikan penyerahan dokumen terima tugas di antara Bekas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Lazim Ismail kepada Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Annas Sulaiman pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu bagi menggantikan SAC Mohamad Lazim Ismail.

Annas sebelum ini memegang jawatan Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Sementara itu, Mohamad Lazim dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Bekas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Mohamad Lazim Ismail berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 APRIL 2026.

Majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Ketika menyampaikan ucapannya, Mohamad Lazim merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Polis Kuala Lumpur serta seluruh warga IPD Wangsa Maju atas sokongan sepanjang beliau memegang jawatan tersebut sejak 4 April 2024.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur serta semua pihak atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang saya sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti setempat yang sentiasa memberi kerjasama.

“Jasa dan sokongan tuan-tuan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Lazim ketika berucap menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Annas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Annas Sulaiman pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 APRIL 2026.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kewibawaan yang dimiliki, beliau mampu meneruskan kecemerlangan dan membawa IPD Wangsa Maju ke tahap lebih gemilang,” katanya.

Sementara itu, Fadil berkata, Mohamad Lazim telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang memegang jawatan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 APRIL 2026.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, banyak usaha, inisiatif dan komitmen telah diberikan dalam memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di Wangsa Maju,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Annas atas pelantikan tersebut.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan beliau, IPD Wangsa Maju akan terus mencapai kecemerlangan,” katanya. -MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast