Foto: FB Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke petang tadi menziarahi isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terbunuh dalam kemalangan disebabkan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah dalam kejadian Ahad lalu.

Dalam pertemuan itu, Anthony Loke turut menyerahkan sumbangan kewangan secara peribadi kepada isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, dengan harapan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.

Namun, ujarnya, tiada nilai wang ringgit yang mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, lebih-lebih lagi buat seorang isteri yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi.

“Saya amat memahami kesedihan yang dirasai, dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam serta solidariti kami bersama keluarga arwah dalam menghadapi saat yang sukar ini.

“Semoga keluarga arwah diberi kekuatan dan ketabahan untuk melalui dugaan ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi Ahad lalu, Amirul Hafiz, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta oleh pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah dari laluan bertentangan dari arah Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang.

Akibat pelanggaran itu, Amirul Hafiz melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Amirul Hafiz bekerja di sebuah gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam.

Awal hari ini, seorang pembantu makmal, R Saktygaanapathy, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan membunuh Amirul Hafiz dalam kejadian tersebut.

Saktygaanapathy yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian mangsa dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast