Zainail (dua kiri) memberi teguran kepada tiga lelaki, Bharat Bahadur (kiri), Sinha Vaibhav (dua dari kanan) dan Mohd Sofian Misban (kanan) yang didakwa atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Sikap tidak bertangungjawab tiga individu termasuk dua warga asing membuang sampah merata-rata pada Januari lalu mengundang padah apabila mereka didenda RM2,800 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Ketiga-tiga orang kena saman (OKS) itu membuat pengakuan bersalah sebelum dijatuhi hukuman denda dan dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) oleh Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

OKS pertama yang juga pemandu bas, Mohd Sofian Misban, 34, didenda RM800, namun jika gagal bayar dia boleh dikenakan satu bulan penjara dengan tambahan hukuman PKM selama enam jam.

Mohd Sofian didakwa membuang puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal itu iaitu di tapak parkir Hentian Rehat dan Rawat arah selatan, Kulai, pukul 4.40 petang, 27 Januari lalu.

Bagi OKS warga India yang bekerja sebagai jurutera di Singapura, Sinha Vaibhav, 40, didenda RM1,000 jika gagal bayar satu bulan penjara dengan tambahan hukuman PKM selama enam jam selepas didapati bersalah membuang tin minuman di tempat awam.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Serigala, Taman Abad di sini, pukul 5.48 petang, 14 Januari lalu.

Bharat Bahadur, 21, yang juga operator kilang warga Nepal pula didenda RM1,000 gagal bayar satu bulan penjara dengan dikenakan PKM selama enam jam selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, Jalan Bukit Bintang 5, Taman Bintang Utama, Kulai, pukul 12.15 tengah hari, 1 Januari lalu.

Semua OKS didakwa mengikut Subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A (2) yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan kepada denda, OKS boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah Subseksyen 77B (1) akta yang sama, maksimum 12 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rubiah Maulud manakala semua OKS tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, sehingga kini pihaknya mengeluarkan 153 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) bagi kesalahan pembuangan sampah kecil.

Katanya, daripada jumlah itu, membabitkan 92 warga tempatan dan 61 warga asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast