Anggota bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar hari ini. - Foto: Ihsan Bomba

SHAH ALAM – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.25 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar yang tiba di lokasi pada 1.53 tengah hari mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an yang tersepit di tempat duduk pemandu, seorang wanita berusia 30-an yang cedera parah serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang mengalami kecederaan ringan.

“Difahamkan kesemua mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri bersama anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, wanita dan anak perempuannya itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

Sementara itu, ujarnya, mangsa lelaki pula berjaya dikeluarkan pada pukul 3.03 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast