KLUANG – Seorang pemilik syarikat pengurusan kewangan di sini kerugian RM154,685 selepas diperdaya pengarah syarikat tersebut yang menjual tanah milik syarikat tanpa pengetahuan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan kes pecah amanah itu daripada mangsa iaitu seorang lelaki yang berusia 73 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada awal tahun ini selepas mangsa yang merupakan pemegang saham syarikat tersebut dimaklumkan oleh kakitangan syarikatnya bahawa tanah milik syarikat telah dijual kepada pihak ketiga.
“Mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati tanah milik syarikat tersebut sudah dipindah milik kepada individu tidak dikenali tanpa pengetahuan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil semakan yang dibuat mendapati pengarah syarikatnya, 71, telah menjual tanah itu tanpa pengetahuannya dan mangsa tidak pernah menerima wang hasil jualan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM154,685.25.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan atau denda.
“Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan memastikan pengurusan kewangan dan aset syarikat dibuat pemantauan secara berkala. Sebarang urusan berkaitan aset perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-778 4222; direct line 07-778 4256; hotline 07-776 6822 atau tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette
















