KUALA LUMPUR – Serangan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli baik daripada pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), mahupun beberapa aktivis politik kononnya beliau “menteri terpaling gagal” didalangi kumpulan berpengaruh.
Rafizi mendakwa, serangan dan naratif menteri gagal itu yang bertali arus mendesak beliau bersara daripada politik sebenarnya untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenarnya ketika ini.
“Seluruh media dari media perdana ke media ceplos pun akan ulang perkara-perkara yang sama. Koordinasi berita-berita ini sangatlah baik dan sudah tentu ia disusun kumpulan berpengaruh di belakang naratif ini.
“Sebabnya individu-individu yang buat serangan dan gesaan ini sebenarnya orang tak kenal pun. Kalau tidak disusun, saya tak rasa media-media utama di negara ini sudi untuk menghabiskan ruang media mereka melaporkan komen-komen dari orang-orang ini.
“Saya tidaklah terkejut dengan serangan-serangan ini kerana ini cubaan sebenarnya untuk mengalih perhatian,” katanya menerusi rakaman video terbaru di akaun Facebooknya, hari ini.
Bekas Menteri Ekonomi itu juga berkata, beliau sendiri tidak mengenali beberapa individu yang disusun untuk mengulangi serangan dengan naratif menteri terpaling gagal itu.
“Ng Lam Yong, konon pengasas PKR yang kemudian masuk MCA dan tiap-tiap hari maki Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Kemudian Faizan Muhammad Noor, kononnya seorang aktivis politik. Eh, aktivis politik ni senang-senang je masuk berita, sedangkan berlambak lagi menteri dari Kerajaan Madani yang berhari-hari media tak cover pun.
“Kemudian Mahmud Epah yang dulu dapat 721 undi sahaja dalam pilihan Raya Negeri Sarawak yang lepas.
“Saya akan jawab tuduhan-tuduhan menteri gagal ini dalam Podcast YBM yang ke-42 hari Jumaat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















