Tangkap layar video yang tular yang memaparkan Ratu Nur Puteri Ratu Balqis sedang melakukan 'solat' bersama ahli keluarganya

JOHOR BAHRU – Tempoh tahanan reman tiga suspek terlibat dalam akaun TikTok milik wanita yang menggunakan nama Ratu Nur Puteri Ratu Balqis, akan disambung tiga atau empat hari lagi.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tempoh reman dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 17 hingga 49 tahun itu yang berakhir esok dilanjutkan untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Lelaki terbabit merupakan abang kepada wanita dewasa terbabit manakala remaja perempuan tersebut adalah anak kepada wanita tersebut. Remaja tersebut sudah tidak lagi bersekolah dan juga tidak bekerja.

“Setakat ini kita ada menerima antara dua hingga tiga laporan polis di Johor berhubung kes ini. Mereka tidak mempunyai pengikut setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Berhubung kesihatan mental individu berkenaan, beliau berkata, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan statusnya.

“Kita masih tidak dapat mengesahkan status mentalnya tetapi selesai siasatan kita jalankan bergantung kepada arahan pihak mahkamah samada mereka perlu dirujuk kepada jabatan psikiatrik hospital atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, pada masa sama siasatan terhadap mereka dijalankan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Ditanya sama ada suspek lelaki merupakan seorang noja di sebuah masjid, beliau berkata, pihaknya tiada maklumat berhubung perkara tersebut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pengakuan wanita tersebut tersebut dan beberapa dakwaan lain dibuat menerusi beberapa klip video yang tular sejak Jumaat lalu.

Beliau menberitahu, video-video klip yang tersebar itu didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan.

“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis turut mendakwa dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’,” ujar Mohd Fared.

Sebelum itu, seorang wanita mendakwa dirinya dipinjamkan badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.

Akaun TikTok bernama @ratunurputriratubalqis memaparkan beberapa video menunjukkan wanita tersebut membuat beberapa kenyataan yang mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam.

Salah satu video berkenaan memaparkan wanita tersebut didakwa menjunjung al-Quran sambil mendakwa dirinya merupakan anak kepada Adam dan Hawa, yang kononnya telah dihidupkan kembali.

Terdapat video dalam akaun tersebut turut menunjukkan wanita berkenaan didakwa mengakui kononnya merupakan guru kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast