JOHOR BAHRU – Malaysia berharap untuk meneruskan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shuttle Tebrau menghubungkan Johor Bahru-Singapura yang bakal ditamatkan pada 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan itu sepatutnya ditamatkan selepas enam bulan Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura beroperasi.
“Kita harap perkhidmatan ini dapat dikekalkan sementara tetapi perlukan kelulusan pihak Singapura. Mengikut perjanjian selepas enam bulan RTS Link Johor Bahru-Singapura beroperasi Shuttle Tebrau akan dihentikan.
“Ini selaras dengan perjanjian dua hala antara Malaysia dan Singapura. (Kita) akan bincang perkara ini, saya telah bangkitkan tetapi belum ada keputusan daripada pihak Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan ke tapak projek berkenaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar-Bukit Chagar di sini hari ini.
KTMB Shuttle Tebrau adalah satu daripada mod pengangkutan yang membawa penumpang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura yang mula beroperasi pada 1 Julai 2015.
Tempoh perjalanan perkhidmatan berkenaan mengambil masa sekitar lima minit dengan harga tiket sehala RM5 dari Johor Bahru-Singapura dan SGD5 (RM17.80) dari Singapura-Johor Bahru.
Sementara itu, beliau memaklumkan kadar tambang RTS Link masih belum dimuktamadkan, namun dijangka berada pada kadar kompetitif dan berasaskan prinsip komersial.
Anthony berkata, penetapan harga tersebut mengambil kira faktor kemampanan operasi memandangkan RTS Link merupakan sistem pengangkutan antarabangsa yang tidak bergantung kepada subsidi kerajaan.
“Tambang ini ditentukan oleh syarikat operasi bersama Malaysia-Singapura dan perlu memastikan operasi kekal mampan dari segi kewangan,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedang meneliti kemungkinan memperkenalkan pas perjalanan bermusim (season pass) khusus untuk rakyat tempatan bagi mengurangkan beban kos pengguna harian.
Tambah beliau, struktur tambang muktamad dijangka diumumkan pada suku ketiga tahun ini selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa kedua-dua negara.- MalaysiaGazette
















