JOHOR BAHRU – Seorang jurujual kad sim mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyimbah cat ke atas dua kenderaan dan dinding rumah, bulan lalu.
Tertuduh, Chan Zhi Guang, 33, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan sebelum dijatuhi hukuman denda masing-masing RM3,500 dan RM2,000 oleh Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna merah pada cermin serta bonet hadapan dua kenderaan jenis Honda HRV milik seorang lelaki berusia 35 tahun sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM2,200 di sebuah rumah di Eco Garden, Gelang Patah di sini, pada 4.15 pagi, 26 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada seorang wanita berusia 36 tahun dengan membinasakan kepada harta iaitu dengan cara menyimbah cat merah di hadapan rumah di sebuah condominium dekat Jalan Cenderasari 2 di sini, pukul 3 pagi, 22 Mac lalu.
Bagi perbuatan itu, didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nikd Azman yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Ketika membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan pada prosiding kedua, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda yang rendah memandangkan hanya berpendapatan RM2,500 sebulan selain menghidap sakit darah tinggi.
“Mohon denda dikurangkan. Tadi, saya sudah kena denda RM3,500,” katanya.
Atifah Hazimah kemudian menerangkan kepada tertuduh bahawa dia dihadapkan dengan dua pertuduhan berbeza walaupun perbuatannya sama iaitu menyimbah cat.
“Pertuduhan tadi kamu simbah cat pada kereta, yang ini kamu simbah cat pada dinding. Jadi, ia dua pertuduhan yang berbeza,” katanya.
Beliau yang menjatuhkan hukuman denda itu turut memerintahkan tertuduh dipenjara masing-masing 12 bulan dan empat bulan jika gagal membayar dua denda berkenaan.- MalaysiaGazette
















