KULAI – Seorang pengurus sebuah syarikat diperdaya peguam RM1.33 juta dalam urusan jual beli tanah seluas 80 hektar di mukim Sedenak dekat sini awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan yang berusia 42 tahun berkenaan penipuan tersebut pada 8 Januari lalu.
“Mangsa mendakwa ditipu satu firma guaman dari Kulai. Syarikat mangsa melalui peguam dilantik berminat untuk memberi hartanah dan telah menyerahkan deposit pembelian kepada firma tersebut.
“Firma berkenaan kononnya mendakwa mewakili penjual untuk urusan tersebut. Mangsa kemudian dimaklumkan deposit sudah diserahkan kepada penjual sedangkan urusan jual beli tanah masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian mendapat tahu yang pemilik tanah tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk urusan jual beli hartanah berkenaan.
Katanya, mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu membuat laporan polis.
“Kes masih dalam siasatan untuk dapatkan bukti dokumen dan sokongan lain. Setakat ini tiada tangkapan. Suspek telah dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dalam tindakan,” ujarnya.
Menurutnya, firma guaman tersebut dipercayai telah beroperasi lebih 10 tahun.
Tambahnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.
Jika sabit kesalahan, katanya, boleh dipenjarakan satu hingga 10 taun sebat serta denda.- MalaysiaGazette
















