Datuk C Sivaraj

KUALA LUMPUR – MIC membangkitkan persoalan mengenai pertuduhan tidak seragam yang dikenakan terhadap pemandu yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan nyawa.

Pengarah Strategi Nasionalnya, Datuk C Sivaraj berkata, dalam satu kes di Johor melibatkan sebuah treler yang merempuh van dan mengorbankan tiga nyawa termasuk ahli keluarga, pemandu didapati positif dadah, namun kes tersebut tidak didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, dalam satu lagi kes melibatkan kemalangan yang mengorbankan tiga mangsa termasuk suami isteri, tragedi itu turut membabitkan kehilangan nyawa, tetapi kes tersebut juga tidak diklasifikasikan di bawah Seksyen 302.

Sebaliknya, tambah beliau, dalam satu kes lain melibatkan pemandu mabuk yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, pertuduhan kepada pemandu telah dinaikkan kepada Seksyen 302 dengan kadar segera.

“Perbezaan ini menimbulkan persoalan yang wajar dikemukakan.

“Apakah asas yang digunakan untuk menentukan bahawa satu kes layak didakwa di bawah Seksyen 302, tetapi tidak bagi kes lain yang mempunyai ciri yang hampir sama?

“Pihak yang lebih arif boleh memberikan penjelasan, atau memilih untuk tidak berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sivaraj yang juga Ahli Dewan Negara, dalam semua kes itu, terdapat satu persamaan yang tidak boleh dinafikan iaitu ada nyawa yang hilang.

Dalam masa sama, ujarnya, terdapat elemen pemanduan berbahaya sama ada di bawah pengaruh dadah, alkohol, atau kecuaian yang melampau.

Maka, ujar beliau, timbul persoalan sama ada memandu dalam keadaan sedemikian, dengan pengetahuan bahawa risiko kematian adalah tinggi, boleh dianggap memenuhi elemen kesalahan yang lebih serius.

“Jika dalam satu kes, keadaan tersebut mencukupi untuk menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 302, maka secara logiknya kes-kes lain yang mempunyai ciri yang sama juga wajar dinilai berdasarkan ukuran yang sama.

“Jika tidak, maka akan timbul persepsi bahawa undang-undang dilaksanakan secara tidak konsisten.

“Apabila undang-undang dilihat tidak konsisten, keyakinan terhadap sistem keadilan akan terjejas dan rakyat akan mula mempersoalkan asas pertimbangan yang digunakan,” katanya.

Tambahnya, undang-undang sepatutnya berfungsi berdasarkan prinsip yang tetap, bukan reaksi terhadap sesuatu kes tertentu.

Ujarnya, jika pendekatan baharu adalah untuk mengklasifikasikan kes kemalangan maut tertentu sebagai kesalahan di bawah Seksyen 302, maka pendekatan itu perlu dinyatakan dengan jelas dan dilaksanakan secara menyeluruh.

Tanpa penjelasan yang jelas, kata beliau, perbezaan dalam pertuduhan akan terus menimbulkan kekeliruan.

“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat sebagai dilaksanakan secara saksama.

“Setiap nyawa yang hilang mempunyai nilai yang sama tanpa mengira keadaan atau lokasi kejadian.

“Oleh itu, pendekatan undang-undang juga perlu mencerminkan kesaksamaan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, jika satu kes dianggap cukup serius untuk dikenakan Seksyen 302, maka semua kes yang mempunyai fakta yang setara perlu dipertimbangkan di bawah prinsip yang sama.

Jika tidak, ujarnya, maka penggunaan Seksyen 302 dalam kes tertentu sahaja akan menimbulkan persoalan yang berpanjangan.

“Terdapat keperluan untuk memastikan konsistensi dalam pelaksanaan undang-undang.

“Pihak yang lebih arif wajar memberikan penjelasan yang sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast