Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin membangkitkan persoalan mengenai semangat reformasi, keadilan dan keberanian melawan kezaliman yang menjadi tunjang kepada parti tersebut.

Sempena ulang tahun PKR ke-27 hari ini, katanya, timbul tanda tanya sama ada PKR masih berada di landasan perjuangan asal, atau sudah jauh tersasar, terperangkap dalam permainan kuasa yang suatu ketika dahulu ditentang habis-habisan.

Menurutnya, idealisma reformasi yang dahulu menjadi nadi perjuangan PKR kini dilihat semakin pudar, diganti dengan pragmatisme yang kadangkala mengorbankan prinsip..

Lebih membimbangkan, dakwa beliau, sebahagian pemimpin yang dahulu lantang memperjuangkan keadilan kini kelihatan terlalu selesa dengan jawatan dan kedudukan.

Selain itu, katanya, kuasa yang sepatutnya menjadi alat untuk membela rakyat, kini seakan menjadi matlamat itu sendiri.

“Dalam kesibukan menjaga posisi, ramai pejuang lama yang berkorban tenaga, masa dan harta seakan dilupakan begitu sahaja, tanpa penghargaan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Razeef yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah, dalam perjalanan mengharungi ujian kuasa, ahli parti itu tidak dapat menutup mata terhadap budaya khianat dan tikam belakang yang semakin menjadi-jadi.

“Sahabat seperjuangan bertukar menjadi lawan dalam diam, kesetiaan yang dahulu dibanggakan kini diuji dengan kepentingan peribadi.

“Ini bukan wajah perjuangan yang kita kenali dahulu, tetapi bayangan politik lama yang pernah kita tentang,” katanya.

Yang paling merisaukan, tambahnya, adalah suburnya budaya “menjilat” pemimpin, seolah-olah kesetiaan diukur melalui pujian tanpa batas, bukan keberanian menegur demi kebaikan.

Dalam suasana sebegitu, ujar beliau, suara kritikal dilihat sebagai ancaman, bukan kekuatan, sedangkan sebuah parti yang sihat sepatutnya meraikan perbezaan pandangan, bukan menutupnya.

“Sempena ulang tahun ke-27 ini, marilah kita kembali kepada asas keberanian berkata benar, kesetiaan kepada prinsip, dan keutamaan kepada rakyat.

“Jika kita benar-benar mahu terus relevan, kita harus berani mengakui kelemahan dan memperbetulkannya,” katanya.

Tambahnya, perjuangan PKR bukan milik individu atau kelompok tertentu, tetapi milik semua yang masih percaya bahawa keadilan itu bukan sekadar slogan, tetapi amanah yang wajib dipertahankan.

“Jika sikap angkuh, sombong, penjilat, khianat masih terus berleluasa, rakyat tidak akan kembali kepada Keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast