JOHOR BAHRU – Himpunan bantah kenaikan harga minyak yang digerakkan pembangkang hari ini tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya menjadi pentas pembangkang menunggang kemarahan rakyat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, tindakan itu hanya sia-sia dan membuang masa serta cuba mengelirukan rakyat dengan naratif yang tidak tepat berhubung situasi harga minyak semasa.
“Himpunan bantah harga minyak yang digerakkan pembangkang jelas hanya membuang masa dan cubaan untuk membodohkan rakyat.
“Mereka cuba menggambarkan seolah-olah hanya Malaysia yang menaikkan harga minyak sedangkan hakikatnya seluruh dunia sedang menerima tempias krisis tenaga susulan konflik di Timur Tengah.
“Bayangkan negara utama pengeluar minyak turut terkesan. Contohnya Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyemak naik harga petrol dan diesel bagi April 2026, manakala Saudi Aramco dan Sonatrach Algeria pula menaikkan harga rasmi LPG antara 38 peratus hingga 80 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, negara ASEAN lain juga terpaksa mengambil langkah luar biasa.
Misalnya,, kata beliau, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr telah mengisytiharkan darurat tenaga nasional pada 24 Mac lalu berikutan ancaman terhadap bekalan tenaga dan kesan kenaikan harga minyak global.
Thailand pula katanya, menaikkan harga diesel 3.50 baht seliter, manakala petrol dan gasohol naik 0.70 baht seliter berkuat kuasa 3 April lalu.
Begitu juga dengan Indonesia dan Singapura turut terkesan, katanya.
Beliau berkata, pembangkang cuba menggambarkan seolah-olah kenaikan harga minyak
“Adalah tidak jujur untuk pembangkang memutar belit fakta seolah-olah semua ini berlaku kerana kelemahan kerajaan semata-mata, sedangkan negara-negara lain di rantau ini juga sedang bergelut dengan tekanan yang sama,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan, kerajaan tetap berusaha melindungi rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk subsidi bahan api.
“Kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah sekitar RM4 bilion sebulan,” ujarnya.
Menurutnya, harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala diesel bagi kumpulan sasaran kekal RM2.15 seliter, selain bantuan seperti BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi yang dinaikkan kepada RM300 sebulan
Beliau berpendapat, pembangkang gagal mengemukakan cadangan alternatif yang kukuh untuk menangani krisis berkenaan.
“Kalau ketika menjadi pembangkang pun mereka sudah ketandusan idea, bagaimana rakyat mahu yakin mereka mampu menjadi kerajaan yang lebih baik apabila diberi peluang memerintah,” soalnya.- MalaysiaGazette
















