KOTA TINGGI – Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan tetap mempertahankan subsidi minyak untuk rakyat walalupun dalam kos yang semakin meningkat.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan kini menanggung subsidi petrol dan diesel berjumlah RM6 bilion sebulan bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
“Kerajaan ketika ini menanggung subsidi bahan api yang tinggi bagi memastikan harga seperti RON95 kekal rendah berbanding negara lain,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata demikian ketika berucap pada program bersama warga Felda di Felda Semenchu di sini hari ini.
Anwar memberi jaminan kerajaan akan terus membantu rakyat termasuk warga Felda dalam mendepani kesan krisis global susulan krisis di Asia Barat.
Menurutnya, ketegangan geopolitik itu memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia termasuk peningkatan kos bahan api, logistik serta harga barangan keperluan harian.
Ujarnya, kerajaan memahami beban yang ditanggung rakyat khususnya golongan peneroka Felda yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
“Kerajaan akan sedaya upaya memastikan kebajikan rakyat terus terbela walaupun berdepan tekanan ekonomi global yang mencabar akibat konflik antarabangsa.
“Kita tidak boleh kawal perang atau harga dunia tetapi kita boleh ambil langkah untuk kurangkan beban rakyat,” katanya.
Anwar menegaskan, kerajaan juga terus memperkukuh usaha meningkatkan hasil negara serta membanteras ketirisan bagi memastikan sumber kewangan dapat disalurkan kepada rakyat.
Beliau turut memberi jaminan agenda pembangunan Felda akan terus diperkasa termasuk aspek pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti peneroka.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di Felda Semenchu.
Katanya, peruntukan tersebut melibatkan penambahbaikan kemudahan awam termasuk sekolah, masjid serta infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada penduduk Felda Semenchu.
“Walaupun tiada permohonan khusus dikemukakan, saya melihat keperluan di kawasan ini dan kerajaan akan pastikan bantuan disalurkan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau menyeru rakyat agar terus bersatu dan bersabar menghadapi cabaran semasa selain mengamalkan sikap berjimat cermat dalam mengurus perbelanjaan harian.- MalasiaGazette
















