Dua pelajar IPG lemas.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan siasatan dalam kejadian dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus di Pantai Merdeka, Sungai Petani semalam.

Jelasnya, siasatan dijalankan bagi meneliti pematuhan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan.

“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, kementerian itu memaklumkan sedang menguruskan bantuan segera kepada keluarga pelajar terlibat.

Tambahnya, sokongan psikososial turut disediakan.

“Aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi tumpuan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, KPM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG Kampus Perlis yang lemas sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus, semalam.

“Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” menurutnya.

Sementara itu, KPM mengingatkan semua institusi pendidikan bawah kelolaannya syoata sentiasa memastikan penganjuran aktiviti luar mematuhi setiap SOP yang sedang berkuatkuasa dan keselamatan peserta diberi perhatian.

Semalam dilaporkan, dua pelajar berkenaan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan berusia dalam lingkungan 20-an itu lemas ketika sedang melakukan aktiviti kayak di Pantai Merdeka kira-kira jam 5 petang, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian sekumpulan pelajar menaiki kira-kira 30 buah kayak bergerak dari Teluk Bayu di sini menuju ke Teluk Nipah di Pantai Merdeka.

Kemudian, secara tiba-tiba berlaku arus deras di muara Sungai Merbok menyebabkan beberapa kayak dinaiki pelajar terbalik.

Operasi pencarian kemudian menemui dua orang mangsa dipercayai tersangkut di bawah pukat kira-kira jam 7.30 malam.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Selain itu, beberapa pelajar yang dikesan trauma dihantar Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast