KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kelewatan melantik Ketua Pembangkang baharu tidak wajar dibiarkan berlarutan kerana boleh menjejaskan kredibiliti Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, perkara itu sepatutnya boleh diselesaikan segera tanpa perlu menunggu sidang Dewan Rakyat pada Jun, memandangkan mekanisme pelantikan adalah jelas dan mudah dilaksanakan.
Menurutnya, surat cadangan telah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi PN, namun sehingga kini masih belum ada keputusan dibuat.
“Saya sudah pimpin PN sejak awal penubuhannya hampir lima tahun, dan saya tahu ini bukan perkara sukar. Bila ada keputusan, ia perlu dilaksanakan tanpa berlengah.
“Setiausaha Agung PN boleh menulis kepada Speaker untuk memaklumkan kekosongan jawatan serta mencadangkan calon yang dipersetujui,” katanya pada majlis Aidilfitri Parlimen Pagoh di Johor hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu juga mengingatkan kepimpinan tertinggi PN supaya memberi keutamaan kepada isu tersebut, termasuk Pengerusi baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau menegaskan, kekosongan jawatan itu tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan, apatah lagi jika calon telah dikenal pasti.
“Kalau sudah kosong, isi. Takkan tiada calon. Kalau sudah ada, tidak perlu tunggu Parlimen bersidang,” katanya.
Setakat ini, jawatan Ketua Pembangkang masih disandang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut.
Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini memaklumkan pelantikan baharu akan dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini, selepas rundingan melibatkan semua parti pembangkang.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah menyelesaikan urusan dalaman parti serta perkara berkaitan PN, memandangkan masih ada tempoh sebelum Dewan Rakyat bersidang. -MalaysiaGazette
















