JOHOR BAHRU – Seorang doktor berputih mata apabila wang simpanan RM270,000 hangus selepas melabur dalam pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang bertugas di sebuah hospital kerajaan di sini.
Raub memberitahu, pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan daripada mangsa yang merupakan doktor pediatrik.
“Kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan pelaburan saham dengan pulangan tinggi sebelum dipujuk memuat turun aplikasi dikenali sebagai ‘WLS’.
“Mangsa kemudian diarahkan oleh suspek untuk membuat beberapa pemindahan wang ke akaun yang berbeza bagi tujuan pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh antara 21 Oktobe hingga 1 Disember 2025, mangsa telah melakukan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM270,000.
Bagaimanapun apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran tambahan atas alasan caj penutupan.
Menurut Raub, mangsa mula curiga dan menyedari dirinya telah diperdaya sebelum membuat laporan polis.
Siasatan awal mendapati akaun bank yang digunakan mempunyai rekod penipuan dan dipercayai berkait dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian.
Polis kata Raub, sedang giat mengesan suspek termasuk melalui semakan akaun bank dan rekod telekomunikasi.
Ujarnya, sindiket penipuan kini semakin licik dan menyasarkan semua golongan termasuk profesional, justeru kewaspadaan dan semakan awal adalah langkah terbaik bagi mengelakkan kerugian.
Orang ramai juga digalakkan membuat semakan melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang pembayaran, selain mengelakkan memuat turun aplikasi daripada sumber tidak dikenali serta tidak membuat pemindahan wang ke akaun pihak ketiga yang mencurigakan.
Pihaknya turut mengingatkan orang ramai supaya menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerima talian 997 dengan segera sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksasaan.- MalaysiaGazette
















