Seorang kanak-kanak mendapat rawatan selepas kakinya digigit tikus berpunca daripada tempat pembuangan sampah yang kotor di flat di Bandar Selesa Jaya, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Penduduk di sebuah flat di Bandar Selesa Jaya di sini mendakwa tong sampah besar yang disediakan tidak diurus dengan baik sehingga menjadi tempat pembiakan lalat dan tikus.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ain, 30, berkata, keadaan di tong sampah dan persekitarannya kotor serta dikhuatiri menularkan penyakit kepada penduduk setempat.

“Kawasan ini sekarang bukan saja menjadi sarang lalat dan gagak malah menjadi tempat pembiakan tikus hingga tumit kaki anak digigit tikus dan terpaksa mendapat rawatan di klinik berhampiran.

“Kejadian berlaku pukul 8 malam, pada 24 Mac lalu ketika anak perempuan saya berusia sembilan tahun membuang sampah di tong roro yang disediakan di hadapan rumah penduduk.

“Akibat kejadian itu, anak saya tarpaksa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran serta menanggung kesakitan serta nyaris terdedah kepada jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dia berkata, malah anaknya juga masih mendapatkan rawatan lanjut bagi mencuci luka di klinik serta trauma untuk keluar hadapan rumah.

“Saya sudah tiga bulan tinggal di sini dan permasalahannya diletakkan bersebelahan hinggap pada makanan. Banyak tikus berkeliaran berikutan kedudukan tong sampah hanya beberapa meter dari kediaman,” katanya.

Dia khuatir keadaan semakin buruk dan boleh mengundang masalah serius terutama membabitkan kesihatan penduduk di situ.

Menurutnya, apabila memaklumkan kepada pihak pengurusan, dimaklumkan bahawa isu pengurusan sampah adalah di bawah syarikat sisa pepejal.

Ain berkata, pihak pengurusan seharusnya menyediakan lokasi pembuangan sampah yang lebih sesuai bagi menangani masalah berkenaan.

Sementara itu, pengurusan flat ketika dihubungi menyatakan pengurusan sampah di flat berkenaan adalah tanggungjawab syarikat pengurusan sisa pepejal.

Jelasnya, jika tong berkenaan dipindahkan ke kawasan lain, penduduk di blok lain pula akan mengadu dan membantah.

“Kadang-kala kutipan pun tidak ikut jadual, kami sudah banyak kali pantau keadaan. Penduduk juga perlu bertanggungjawab tanpa bebas buang sampah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast