KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan, sebarang isu rasuah di institusi pengajian tinggi (IPT).
Sama ada terpencil atau tidak, ia tidak boleh dipandang enteng dan akan diambil tindakan serius tanpa kompromi oleh pihak kementerian, katanya.
Beliau berkata, sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau rasuah di mana-mana institusi termasuk universiti dan politeknik perlu diberi perhatian sewajarnya, walaupun melibatkan kes kecil.
Menurutnya, kewujudan kes rasuah tetap dianggap satu kesalahan yang perlu ditangani secara tegas.
“Pada masa sama, kita menolak pelabelan melampau yang menggambarkan IPT sebagai ‘lubuk rasuah’. Kita menggesa pihak media supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan tajuk agar tidak memberi persepsi negatif keterlaluan terhadap institusi pendidikan negara,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti kini didakwa menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejalanya menular secara senyap dalam ekosistem pendidikan negara.
Menurut laporan akhbar itu, perbuatan itu bukan sahaja melibatkan urusan pentadbiran dan kewangan malah turut meresap dalam aspek akademik seperti pemberian markah, kelulusan kursus dan peluang penyelidikan sehingga mencemarkan nilai sebenar ilmu.
Selain itu, geran yang diberikan kepada pensyarah untuk pelaksanaan sesuatu projek atau kajian penyelidikan juga disalah guna.
Mengulas lanjut, Zambry menegaskan, KPT sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan siasatan terhadap kes-kes berkaitan termasuk membenarkan agensi itu membuat kajian dan tindakan sewajarnya.
Selain itu, kerjasama dengan Jabatan Audit Negara turut diperkukuh dalam memastikan pengurusan kewangan, pelaksanaan projek serta tatacara operasi berada pada tahap baik dan telus.
“Segala teguran yang diberikan oleh Audit Negara akan diambil tindakan. Usaha penambahbaikan sentiasa dilakukan dan kita tidak pernah mendakwa semuanya sempurna,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kementerian komited untuk terus memperbaiki tadbir urus IPT tanpa menafikan kewujudan kelemahan, namun menolak gambaran ekstrem yang boleh menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette
















