Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi. -BERNAMA

KUALA LUMPUR – Enam lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz ketika ini akan dibenar melalui laluan perairan itu secara berperingkat, kata Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

“Kami (Iran) akan membenarkan kapal itu melalui laluan berkenaan satu demi satu,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui di luar Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 yang diadakan di sini, Selasa.

Terdahulu, Kementerian Luar Malaysia mengesahkan bahawa sebuah daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan situasi serantau telah diberikan laluan selamat dan kini sedang meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.

Perkara itu susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac, yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal Malaysia untuk menyambung semula perjalanan mereka.

Laluan melalui Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Februari lalu.

Gangguan itu menyebabkan kekurangan bahan api dan mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus mengakibatkan kesan ekonomi yang lebih meluas.

Iran mengehadkan laluan melalui Selat Hormuz kepada kapal dari negara yang dianggap “tidak bermusuhan”, sambil menegaskan bahawa pihaknya akan memudah cara bagi memastikan laluan selamat kapal berkenaan. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast