JOHOR BAHRU – Proses pendakwaan melibatkan pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan maut didakwa terlalu lambat sedangkan keluarga mangsa segera mahukan keadilan dan hukuman setimpal.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, proses keadilan yang lambat bukan sahaja menambah penderitaan keluarga mangsa, malah mencerminkan kelemahan sistem dalam melindungi nyawa rakyat.
“Contohnya kes pasangan suami isteri maut di lokasi kejadian selepas motosikal dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang pada November 2024 lalu hingga lima orang anak mereka bergelar yatim piatu dalam sekelip mata.
“Kisah pilu yang dikongsikan nenek kepada lima cucu tersebut, Ramlah Kasiran bukan sahaja meruntun jiwa rakyat, malah memperlihatkan kesan besar dan berpanjangan akibat kecuaian pemandu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
“Lebih menyayat hati, tanggungjawab membesarkan lima cucu kini terletak di bahu datuk dan nenek yang telah lanjut usia, termasuk menjaga seorang cucu berstatus Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, apa yang lebih membimbangkan, selepas hampir dua tahun berlalu, keluarga mangsa masih menunggu pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.
Kelewatan itu katanya, menimbulkan persoalan serius terhadap keberkesanan sistem perundangan dan tahap penguatkuasaan dalam menangani kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Sehubungan itu katanya, siasatan kes mesti disegerakan tanpa sebarang alasan kelewatan dan kerajaan perlu menetapkan tempoh masa yang jelas bagi pendakwaan serta perbicaraan kes melibatkan kematian akibat pemanduan mabuk.
Tegasnya, hukuman minimum mandatori perlu diperkenalkan termasuk tempoh penjara yang lebih panjang tanpa kompromi serta penggantungan lesen memandu seumur hidup bagi pesalah yang menyebabkan kematian.
Selain itu katanya, pelaksanaan undang-undang liabiliti automatik (strict liability) perlu dikuatkuasakan dalam kes kemalangan maut melibatkan alcohol.
Beliau berkata, pemandu mabuk bertanggungjawab secara langsung tanpa perlu dibuktikan kecuaian yang panjang.
Penubuhan Mahkamah Khas Trafik atau laluan fast track juga wajar dipertimbangkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes kematian di jalan raya, katanya.
Dalam aspek penguatkuasaan, Pejuang Johor menggesa agar sekatan jalan raya berkala wajib dipertingkatkan terutama pada waktu berisiko tinggi di samping penggunaan teknologi seperti breathalyzer diperluaskan secara menyeluruh.
Hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba melindungi pesalah dan penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara konsisten, tegas serta telus bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem, katanya.
“Dari sudut kebajikan, kerajaan perlu segera mewujudkan tabung khas mangsa kemalangan jalan raya yang dibiayai melalui denda kesalahan trafik berat bagi memastikan kebajikan keluarga mangsa terbela tanpa birokrasi.
“Bantuan kewangan serta sokongan psikososial mesti disalurkan segera kepada keluarga mangsa, khususnya mereka yang menjaga anak yatim dan OKU serta keluarga mangsa tidak boleh terus dibiarkan menunggu tanpa kepastian kerana keadilan mesti disertai dengan bantuan yang nyata,” katanya.
Pejuang Johor menegaskan bahawa tragedi itu bukan sekadar kemalangan jalan raya, tetapi isu keselamatan nyawa rakyat serta kredibiliti sistem keadilan negara.
Katanya, kerajaan tidak boleh lagi berlengah atau bersikap reaktif, sebaliknya tindakan tegas, dasar yang jelas serta pelaksanaan yang berkesan mesti dilaksanakan segera.
Pejuang Johor berdiri teguh bersama-sama keluarga mangsa dalam menuntut keadilan dan memberi amaran rakyat sedang memerhati dan setiap kelewatan adalah satu pengkhianatan terhadap mangsa yang telah pergi dan mereka yang terus menanggung derita.
“Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan,” tambah beliau.- MalaysiaGazette
















