ISKANDAR PUTERI – Isu pencemaran habuk akibat kerja pembinaan di beberapa kawasan perumahan sekitar daerah ini kini menunjukkan perkembangan positif apabila kesepakatan berperingkat berjaya dicapai antara penduduk dan pihak pemaju.
Perbincangan melibatkan penduduk Taman Nusantara Prima, Taman Nusa Bayu dan Pangsapuri Bayu Angkasa bersama-sama pemaju, Tropicana Firstwide Sdn Bhd, memasuki fasa akhir hasil penganjuran sesi townhall dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, pandangan serta kebajikan penduduk sentiasa diberi keutamaan dalam setiap rundingan yang dijalankan.
“Melalui sesi ini, kita dapat melihat komitmen kedua-dua pihak. Pemaju telah menyalurkan sumbangan CSR sebanyak RM20,000 kepada setiap wakil penduduk.
“Ini bagi membantu menangani isu yang dibangkitkan di samping memastikan semua syarat yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dipatuhi,” katanya kepada pemberita dalam majlis berkenaan, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar MBIP, Hasrin Kamal Hashim.
Terdahulu, kira-kira 100 penduduk hadir dalam sesi townhall yang berlangsung hampir dua jam bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap gangguan harian akibat kerja-kerja pembinaan.
Antara aduan utama termasuk habuk yang memasuki rumah, bunyi bising di luar waktu dibenarkan serta ketidakselesaan berpanjangan.
Isu pencemaran habuk dikenal pasti berpunca daripada kerja tanah yang sedang dijalankan oleh Tropicana Firstwide, manakala pembinaan Fasa Dua bangunan ZDATA kini hampir siap dan melibatkan kerja pra-campuran (pre-mix) yang kurang menghasilkan habuk.
Wakil pemaju memaklumkan bahawa beberapa langkah mitigasi sudah dilaksanakan termasuk penyemburan air menggunakan lori tangki serta pemasangan jaring dan penghadang di kawasan cerun.
Bagaimanapun, tinjauan Malaysia Gazette mendapati langkah tersebut masih perlu dipertingkatkan, khususnya di kawasan berhampiran kediaman penduduk.
Dalam sesi dialog tersebut, penduduk turut mengemukakan cadangan praktikal seperti peningkatan kekerapan semburan air, penambahan lapisan perlindungan serta pemantauan lebih ketat terhadap waktu operasi pembinaan.
Pihak Tropicana Firstwide menyatakan kesediaan untuk meneliti setiap cadangan dan melaksanakannya secara berperingkat-peringkat demi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Perkembangan itu dilihat sebagai langkah positif ke arah penyelesaian jangka panjang sekali gus mencerminkan kepentingan kerjasama erat antara pihak berkuasa, pemaju dan penduduk dalam menangani isu persekitaran di kawasan pembangunan pesat.- MalaysiaGazette
















