ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) 4-1 dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
Kejayaan tersebut membolehkan JDT selaku penyandang menempah tempat ke final Piala Malaysia yang melangkah dengan agregat 8-1.
Tidak membuang masa, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-49 menerusi tandukan Bergson da Silva hasil hantaran lintang Felipe.
Stadium kembali bergema selepas itu menerusi serangan Syahmi Safari apabila menyumbat gol kedia dua minit kemudian selepas menyudahkan sepakan lambung Nacho Mendez yang gagal ditangkap penjaga gol pelawat, Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Bergson sekali lagi menambah gol keduanya pada minit ke-58 selepas berjaya ‘memperdaya’ dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti dan terus merobek gawang lawan.
Namun KL City kendalian Risto Vidaković tidak mahu mengalah apabila merapatkan kedudukan pada minit ke-67 menerusi tandukan kapten Giancarlo Gallifuoco hasil sepakan sudut Zhafry Yahya yang tidak dikawal.
Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz kemudian menjaringkan gol keempat menerusi pemain gantian Ajdin Mujagic pada minit ke-88 dengan penyudah kemas dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Mendez.- MalaysiaGazette
















