Arif Aiman Mohd Hanafi.

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan seorang pemain utamanya, Arif Aiman Hanafi tidak akan beraksi pada perlawanan getir suku akhir Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Arab Saudi, pada 17 April ini.

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menjelaskan, langkah tersebut kerana tidak mahu mengambil risiko setelah pemain sayap lincah itu masih dalam proses pemulihan dan belum mencapai tahap terbaiknya.

“Berita baiknya, Arif Aiman sudah mula menjalani latihan. Ini satu perkembangan yang sangat positif buat pasukan namun begitu, perkara paling penting sekarang adalah memastikan beliau kembali pada tahap 100 peratus kecergasan. Semua pihak pastinya mahu melihatnya kembali beraksi, tetapi kami tidak boleh mengambil risiko dengan tergesa-gesa.

“Arif Aiman merupakan pemain istimewa dan antara yang terbaik di Asia. Oleh itu, beliau perlu diberikan masa secukupnya, sokongan penuh serta penjagaan terbaik sepanjang proses pemulihan ini dan kembali pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan antara JDT dengan Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Pemain paling bernilai (MVP) bagi empat musim berturut-turut itu mengalami kecederaan hamstring yang memaksanya berehat panjang sejak November 2025.

Munoz berkata, proses pemulihan yang dilalui Arif Aiman menunjukkan tanda positif namun kelab enggan mengambil jalan pintas semata-mata mahu mendapatkan khidmatnya untuk pusingan akhir ACLE.

Katanya, pemain sayap itu bekerja keras sepanjang tempoh pemulihan kira-kira empat ke lima bulan lalu namun mustahil akan kembali bersama-sama pasukan dalam masa terdekat.

“Kalau tanya saya, sudah lama saya menagih khidmatnya namun kita boleh pentingkan diri sendiri. Kita perlu bagi ruang untuknya pulih sepenuhnya agar tiada kecederaan berulang.

“Daripada segi timing, ia agak mustahil untuk dipercepatkan. Kecederaan memerlukan tempoh pemulihan yang tepat, dan kami tidak boleh berkompromi dalam hal ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast