KULAI – Seorang pemuda didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas tuduhan menawarkan diri sebagai orang tengah dengan pihak imigresen bagi menguruskan permit pekerja asing, awal bulan ini.
Tertuduh, Kiki Sefti Mohd Aini, 27, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa secara curang mendorong seorang pengusaha perniagaan membuat pindahan wang RM1,500 bagi tujuan menguruskan permohonan permit kerja.
Perbuatan tersebut dilakukan pukul 10.37 pagi di Jalan Dataran Kulai 1 di sini pada 1 April lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang warga emas, Tian Choy, 64, turut dikenakan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti kutipan hutang bagi syarikat pinjaman wang tidak berlesen.
Mahkamah memerintahkan lelaki tersebut dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mewakili agensi pinjaman wang untuk mengutip hutang tanpa kebenaran sah di kawasan TJ Mart, Saleng pada Mei tahun lalu.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Lim Seay Sean.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Kiki Sefti (kanan) dan Tian Choy (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas pertuduhan masing-masing menipu jadi ejen dan kutip hutang along.
















