Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang lelaki cedera ditembak selepas bertindak agresif menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya menerima maklumat berhubung satu insiden tembakan di lokasi terbabit pada 11.17 malam sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang bergegas ke tempat kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas dua individu lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan, seorang daripada mereka bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang dan melibas ke arah anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek tersebut bagi mempertahankan diri serta mengelakkan kecederaan serius.

Mohd Yusoff berkata suspek yang cedera terkena tembakan di bahagian paha sempat melarikan diri sebelum berjaya ditahan menerusi satu operasi segera di kawasan berhampiran, manakala rakannya masih bebas dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan.

“Suspek yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil serta direman tujuh hari.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau yang signifikan, serius dan berulang termasuk dadah berbahaya, ugutan jenayah, kesalahan bahan kakisan, letupan serta senjata berbahaya, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan  keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, sekumpulan pelajar UiTM Machang berdepan detik cemas apabila bertempiaran menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi tembakan kira-kira 50 meter dari lokasi mereka di sebuah kedai makan malam tadi.

Pelajar semester empat Diploma Pengurusan Maklumat Adam Haqimie Rosli, 21, berkata ketika kejadian pada kira-kira 11 malam, dia bersama dengan enam rakan berbual sambil minum sebelum ternampak seorang anggota polis mengejar seorang lelaki.

“Kami kemudian terdengar beberapa letupan yang pada mulanya kami sangka bunyi mercun sebelum menyedari ia adalah tembakan… sebaik menyedari keadaan sebenar, kami terus berlari masuk ke dalam kedai untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Pemilik restoran, Shahida Ramli, 27, pula berkata dia bersama dengan kira-kira 10 pekerjanya sedang melayan pelanggan apabila suasana menjadi kelam-kabut selepas ada yang menyedari bahawa individu dikejar polis berada di kawasan berkenaan.

Dia berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, dua lelaki dipercayai datang ke kawasan itu untuk mengeluarkan wang di mesin teler automatik berhampiran pintu masuk utama UiTM.

“Seorang suspek yang menaiki motosikal berjaya melarikan diri manakala seorang lagi ditahan selepas terkena tembakan di bahagian paha,” katanya sambil menambah suspek yang ditahan dipercayai terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira dua meter di seberang jalan ketika cuba melarikan diri.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast