KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan membuat pelarasan dasar yang lebih tepat dan fleksibel berdasarkan realiti yang dihadapi setiap sektor susulan kenaikan harga bahan api.
Timbalan Setiausaha Organisasi MCA, Datuk Kang Meng Fuat berkata, ia termasuk mengkaji semula mekanisme subsidi bahan api, mengurangkan kos pengangkutan dan logistik serta menyediakan bantuan bersasar kepada perusahaan kecil dan sederhana.
Selain itu, katanya, menstabilkan harga barangan makanan asas, serta memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah agar tekanan kos sara hidup tidak terus meningkat.
Jelas beliau, kenaikan harga diesel secara berterusan memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan yang akan dipindahkan ke pelbagai sektor lain dan akhirnya ditanggung oleh pengguna.
“Kenaikan harga bahan api sekali gus turut mencetuskan rantaian kenaikan harga. Keadaan ini bukan sahaja menambah beban rakyat, malah melemahkan daya hidup ekonomi dan kuasa beli pengguna,” katanya menerusi kenyataan.
Tegasnya, kerajaan tidak boleh hanya meminta rakyat bersyukur, tetapi mengabaikan tekanan sebenar yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
“Apa yang paling diperlukan ketika ini ialah pendekatan yang pragmatik serta keupayaan pelaksanaan.
“Kerajaan harus segera mengambil langkah berkesan untuk menstabilkan harga dan mengurangkan kos, supaya rakyat benar-benar merasai manfaat dasar yang dilaksanakan, bukannya terus diminta untuk memahami dan bertolak ansur,” tambahnya.
Beliau turut menyifatkan naratif ‘bersyukur ketika mengisi minyak’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim” sebagai amat janggal.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya menjadikan seruan tersebut pendekatan utama dalam menangani kesusahan rakyat.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perlu tampil dengan dasar dan tindakan yang lebih praktikal untuk membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi semasa.
“Rakyat memahami bahawa ketidaktentuan di Asia Barat memberi kesan kepada bekalan tenaga global serta inflasi, namun kefahaman itu tidak bermakna rakyat mampu menanggung beban tanpa had.
“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mestilah menyelami kesulitan rakyat, proaktif mencari penyelesaian, merangka langkah berkesan, dan membantu rakyat mengharungi cabaran semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















