Para pemain industri pelancongan Johor dan Singapura diberi penerangan mengenai pelancongan Langkawi pada majlis Sesi Libat Urus B2B di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan 180,000 pelancong dari Johor dan Singapura ke destinasi menarik di Kedah dan Langkawi pada tahun ini.

Pengurus Bahagian Pelancongan, Dr Azmil Munif Mohd Bukhari menjangkakan kedatangan akan ramai ketika musim cuti sekolah pertengahan tahun ini.

Jelas beliau, pihaknya meletakkan sasaran yang tinggi berbanding tahun lalu ekoran peralihan minat kepada percutian domestik atas beberapa faktor termasuk keselamatan.

“Penganjuran sesi libat urus Business-to-Business (B2B) berimpak tinggi yang diadakan ini dapat membuka mata pemain industri dari Johor dan Singapura mengenai tempat menarik di Langkawi dan Kedah selain membuka ruang kepada kerjasama profesional yang lebih tersusun.

“Sasaran kita pada tahun ini adalah untuk menarik kehadiran 100,000 pelancong dari Johor dan 80,000 dari Singapura untuk meneroka keindahan alam melibatkan lebih 70 lokasi di Langkawi dan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus B2B di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar dan Penolong Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Amirul Ashraf Muhd Johari.

Azmil Munif berkata, bagi mencapai hasrat itu pihaknya membawa 16 pemain industri dari Langkawi dan Kedah untuk mempromosikan kawasan tarikan pelancong dengan lebih dekat dalam sesi berkenaan.

Beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai dengan adanya penerbangan terus dari Johor dan Singapura ke Langkawi.

Tambahnya, selepas terjadinya ketegangan di Asia Barat, LADA bersama-sama Tourism Kedah giat mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan pilihan buat rakyat Malaysia.

“Selepas ini, kita akan lancarkan program khusus untuk pelancong domestik iaitu Langkawi Special Deal di mana pengunjung dapat menikmati 70 peratus diskaun bagi produk terpilih. Ini kita akan lancarkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Beliau turut berharap penerbangan terus dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu ke Langkawi yang terhenti sementara Akibat perang Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran dapat disambung semula.

Ditanya mengenai kesan kenaikan harga diesel di pasaran, beliau berkata, majoriti pemain industri belum lagi menaikkan harga pakej pelancongan dan berusaha untuk mengimbangi kos tersebut.

Mohd Zaidy berharap kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara dapat mengenali budaya dan cara hidup masyarakat di Kedah.

“Pada tahun ini, kita akan anjurkan acara yang lebih memperkenalkan budaya di Kedah seperti Dam Camp, Pesta Di Tasik, Temasya Orang Kedah, Pesta Bendang dan sebagainya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast