KUALA LUMPUR – Guna alasan untuk beli makanan dan keperluan diri, tiga individu warga asing ditahan selepas meminta derma dari orang awam di kawasan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi berkata, kesemua suspek yang ditahan melibatkan seorang lelaki dan dua wanita warga asing berusia 48 hingga 50 tahun.
“Bertindak atas maklumat, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA pada pukul 2 petang telah menahan kesemua suspek di lokasi kejadian selepas tular beberapa individu yang tidak dikenali meminta sumbangan derma daripada orang awam.
“Semakan lanjut mendapati, individu yang ditahan adalah mereka yang tular di dalam aplikasi TikTok dengan menyasarkan orang awam bagi meminta sumbangan derma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati kesemua suspek meminta sumbangan derma daripada warga asing yang lain dengan alsasan untuk membeli makanan dan keperluan diri.
“Siasatan lanjut juga mendapati, kesemua suspek tiba di Terminal KLIA dari pusat peranginan Genting Highlands dan memaklumkan telah kehabisan wang tunai,” jelasnya.
Katanya lagi, kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 28 (g) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dan Seksyen 39 (b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963.
“Orang ramai khususnya semasa berada di Terminal KLIA 1 dan KLIA 2 diminta agar berhati-hati jika dihampiri oleh individu yang tidak dikenali hingga menyebabkan menjadi mangsa penipuan dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis,” katanya. – MalaysiaGazette
















