Khairin-Nisa (duduk_ selepas menurunkan tandatangan pada bulu pelawat semasa lawatan ke CIC di Muar hari ini.

MUAR – Tiga kanak-kanak Indonesia yang menjadi mangsa pedofilia akan dihantar pulang ke negara asal mereka selepas siasatan selesai dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah berjaya menjejaki waris tiga kanak-kanak berkenaan di Indonesia.

“JKM merujuk kepada konsulat Indonesia dan mereka berjaya jejak waris terbabit. Usaha mengenal pasti keluarga dan waris mangsa dilakukan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Pihak konsulat akan menghantar pulang mangsa apabila selesai siasatan polis,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz.

Khairin-Nisa berkata, pada masa ini, seramai tujuh mangsa pedofilia masih mendapatkan perlindungan di bawah JKM.

Katanya, selain warga tempatan, mereka yang berusia antara 11 bulan hingga 5 tahun juga terdiri daripada warga asing.

Jelasnya, biarpun sesetengah mangsa itu merupakan warga asing, mereka tetap kanak-kanak yang perlu dilindungi masyarakat.

Menurutnya, kanak-kanak tidak seharusnya menjadi mangsa keganasan, diambil kesempatan mahupun menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

“Kami amat prihatin dalam isu membabitkan kanak-kanak. Terdapat tiga CIC di seluruh Johor dalam usaha memastikan proses temuduga kanak-kanak dapat dilaksanakan dalam suasana yang selamat, mesra dan terpelihara kebajikannya.

Menurutnya, bangunan berkenaan bakal dilancarkan pertengahan bulan ini.

“Kewujudan CIC ini dapat memastikan pendekatan mesra kanak-kanak dalam proses siasatan menjadi pemangkin kepada usaha menyediakan ruang yang selamat, selesa dan kondusif.

“Ini khusus bagi memastikan kanak-kanak yang terbabit sebagai mangsa atau saksi dapat memberikan keterangan dengan lebih teratur, tenang dan tanpa tekanan, sekali gus mengurangkan risiko trauma sepanjang proses terbabit,” katanya.

CIC katanya, merupakan inisiatif penting dalam memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak, khususnya dalam membantu siasatan kes membabitkan budak dengan pendekatan lebih berhemah dan sensitif.

Kemudahan itu memberi ruang kepada kanak-kanak untuk memberikan keterangan tanpa tekanan sekali gus mengurangkan trauma yang mungkin dialami.

“Kerajaan Negeri Johor terus komited dalam memperkasa usaha melindungi golongan kanak-kanak menerusi penyediaan fasiliti yang kondusif serta kerjasama erat antara agensi berkaitan,” katanya.

Terdahulu portal ini melaporkan 15 budak mangsa pedofilia dalam keadaan sihat, sebahagian sudah diserah kembali kepada keluarga.

Mereka termasuk lima yang diselamatkan di Pasir Gudang, diberi perlindungan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh tertentu menerusi perintah mahkamah.

Pada 29 Ogos lalu, media mendedahkan modus operandi sebuah sindiket yang berjanji mahu menjadikan bayi sebagai anak angkat namun akhirnya bayi yang baru dilahirkan dipisahkan daripada ibu kandung sebelum dijadikan mangsa pemuas nafsu dan ‘model’ kandungan lucah.

Perbuatan seorang lelaki pedofilia berusia 29 tahun terbongkar apabila dia ditahan polis dalam operasi khas Op Pedo antara 19 Julai hingga 19 Ogos lalu.

Awalnya, tiga kanak-kanak berusia lima hingga tujuh tahun dikenal pasti menjadi mangsa suspek sebelum polis kemudian menemui puluhan rakaman video dan ratusan gambar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam telefon bimbit lelaki berkenaan.

Suspek yang juga juruteknik menggunakan bayi dan kanak-kanak bagi tujuan rakaman adegan lucah dan seksual sebelum dimuat naik dalam darkweb dan aplikasi sembang Telegram.

Modus operandi mereka adalah mengiklankan di Facebook kononnya dia mencari bayi untuk dijadikan anak angkat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast