Seorang warga emas ditahan penguat kuasa JAINJ ketika membeli nombor ekor di sebuah premis di Kluang semalam.

KLUANG – Seorang lelaki warga emas ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika membeli nombor ekor di sebuah premis di sini semalam.

Menurut JAINJ, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, penguat kuasa yang menjalankan rondaan di beberapa kedai judi nombor ekor memasuki sebuah premis dengan berpakaian biasa sebelum memerhati pelanggan dalam kedai berkenaan.

“Ketika itu, seorang lelaki Melayu dilihat sedang berurusan di kaunter.

“Sebaik selesai, lelaki berkenaan bertindak keluar dengan tergesa-gesa sebelum seorang penguat kuasa menahannya.

“Bagaimanapun, lelaki berusia 65 tahun itu cuba melarikan diri namun gagal apabila dua lagi anggota membantu menahan suspek,” maklumnya dalam kenyataan.

Tambah JAINJ, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memegang satu slip nombor ekor bernilai RM8.

“Suspek yang memakai t-shirt dan seluar panjang itu merupakan pesara swasta yang menetap di Kluang serta mempunyai anak dan cucu.

“Ketika disoal, dia membeli nombor tersebut kerana mendakwa menerima ‘nombor ada ong‘ (bawa tuah) daripada seorang lelaki bangsa lain,” katanya.

Walaupun pada awalnya tidak percaya, ujar JAINJ, suspek bimbang terlepas peluang sekiranya nombor itu keluar sebagai pemenang.

“Dia beli satu nombor sahaja dengan harga RM8 sebab angka lapan pun ada ong. Tapi akhirnya kena tangkap, jadi tak ada ong,” tambah kenyataan itu.

Kes itu akan didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 18 kerana berjudi, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast