KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dalam kes amang seksual melibatkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves di sini disaran mengemukakan rayuan mengikut saluran perundangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri berkata, langkah itu merupakan saluran sewajarnya dalam sistem perundangan bagi mencabar keputusan mahkamah.
Menurutnya, kementerian memahami perasaan keluarga mangsa, namun keputusan mahkamah perlu dihormati kerana berada di luar bidang kuasa pihaknya.
“Jika ibu bapa tidak berpuas hati, mereka boleh membuat rayuan mengikut saluran yang ditetapkan. Kita boleh menyuarakan perkara ini kepada pihak Peguam Negara tetapi keputusan akhir tetap tertakluk kepada proses mahkamah,” katanya hari ini.

Beliau menegaskan, kes penderaan seksual kanak-kanak adalah isu serius yang memerlukan perhatian berterusan semua pihak.
“Kita komited memastikan perlindungan kanak-kanak diperkasa, namun tidak boleh mencampuri keputusan mahkamah yang telah dibuat,” ujarnya.
Nancy turut menekankan bahawa sebarang pandangan terhadap hukuman perlu dibuat berdasarkan penelitian terhadap penghakiman penuh.
“Tidak adil untuk mengkritik sesuatu keputusan tanpa memahami rasional yang dipertimbangkan mahkamah,” katanya.
Kes itu mencetuskan perhatian apabila Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis lalu merekodkan pengakuan bersalah seorang penjaga pusat jagaan kanak-kanak terhadap 15 pertuduhan amang seksual dan seks luar tabii membabitkan lima kanak-kanak lelaki.
Dalam prosiding sama, pemilik pusat jagaan berkenaan, S Valan, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan seksual sebelum dibenarkan diikat jamin RM30,000.
Keputusan membenarkan jaminan itu kemudian mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk ibu bapa mangsa serta Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor yang mempersoalkan kewajarannya memandangkan kes melibatkan mangsa bawah umur serta kesalahan serius. – MalaysiaGazette
















