KUALA LUMPUR – Cadangan agar Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen Pandan menentang Datuk Rafizi Ramli bukan sekadar retorik politik tetapi satu peluang untuk memperkukuh kualiti demokrasi negara.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamallulai berkata, Parlimen Pandan selama ini dikenali sebagai kawasan yang sarat dengan perbahasan dasar khususnya berkaitan ekonomi dan reformasi.

Jadi, kehadiran bekas menteri seperti Khairy sebagai pencabar berprofil tinggi akan mewujudkan pertandingan idea yang lebih seimbang dan matang.
“Rafizi dikenali dengan pendekatan analitikal dan naratif reformasi ekonomi manakala Khairy pula mempunyai pengalaman pentadbiran serta keupayaan komunikasi dasar yang kuat.
“Pertembungan ini bakal membuka ruang kepada rakyat untuk menilai dua pendekatan kepimpinan yang berbeza — bukan sekadar populariti, tetapi keupayaan sebenar dalam mengurus negara,” katanya dalam kenyataan.
Dalam konteks yang sama, pertandingan antara dua tokoh itu boleh dianggap sebagai buku bertemu ruas kerana ia satu persaingan sihat yang mengangkat standard politik negara ke tahap lebih tinggi.
“Akhirnya, rakyat di Pandan akan menjadi penentu. Mereka bukan sahaja memilih wakil rakyat tetapi juga menentukan arah perbahasan dasar negara, sama ada terus dengan pendekatan sedia ada atau memberi peluang kepada alternatif yang diyakini lebih berkesan,” katanya.
Rafizi malam tadi dalam satu podcast mengandaikan akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pandan apabila dia dipecat daripada parti.
Bagaimanapun Rafizi menegaskan akan mempertahankan kerusinya dan menjangka PKR akan meletakkan bekas menteri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bukan Khairy. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















