JOHOR BAHRU – Dua premis urut tradisional dan refleksologi yang menawarkan perkhidmatan `urut batin’ serendah RM80 diserbu dalam Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor pukul 3 petang kelmarin.
Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, dalam operasi itu, seramai 22 individu termasuk warga asing ditahan kerana terlibat dalam aktiviti tidak bermoral serta penyalahgunaan pas lawatan sosial.
“Premis terbabit dipercayai berselindung di sebalik perkhidmatan urut tradisional, namun menawarkan khidmat urut batin kepada pelanggan.
“Dua premis tersebut dipercayai menggajikan warga asing tanpa dokumen sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai tukang urut.
“Lebih mencurigakan, premis berkenaan didakwa menawarkan pakej tertentu termasuk ‘perkhidmatan tambahan’ pada harga murah sebagai tarikan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati 21 warga asing ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan 14 wanita berusia antara 18 hingga 41 tahun, melibatkan warganegara Myanmar dan China.
Mohd Rusdi berkata, semua mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan tanpa permit yang sah.
Jelasnya, turut diberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis serta dalang utama dalam mengatur operasi dan pengambilan pekerja warga asing.
“Siasatan awal mendapati taktik menawarkan harga serendah RM80 bagi satu sesi urut batin digunakan sebagai umpan untuk menarik pelanggan, sekali gus meluaskan kegiatan secara tersembunyi,” katanya.
Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tindakan lanjut, manakala tujuh saman turut dikeluarkan kepada saksi untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















