KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia menggesa pelaksanaan audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah susulan tragedi kematian pelajar, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin akibat dilanggar sebuah kereta di Kelantan, semalam.
Pengerusi Rangkaian Sekolah IKRAM-Musleh, Dr Omar Yaakob berkata, kejadian itu membuka mata terhadap risiko keselamatan akibat percampuran laluan pelajar dan kenderaan di kawasan sekolah.
Katanya, kekangan ruang terutama di sekolah berkapasiti besar menyebabkan ratusan kenderaan berada di dalam kawasan terhad, sekali gus meningkatkan risiko jika tidak diurus secara sistematik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah segera termasuk pemasangan penghadang fizikal di laluan pelajar, penyusunan semula aliran trafik serta pengasingan waktu pergerakan antara pelajar dan kenderaan.
“Langkah seperti pemasangan penghadang dan melambatkan pergerakan kenderaan selepas waktu persekolahan boleh dilaksanakan segera dengan kos minimum tetapi memberi impak besar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai agar tidak melakukan kecaman melampau terhadap individu terlibat kerana semua pihak menanggung beban emosi susulan tragedi tersebut.
“Keselamatan adalah amanah dan tragedi ini mesti menjadi titik perubahan,” katanya.
Semalam, pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa maut akibat dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di dalam kawasan sekolah kira-kira pukul 1.50 tengah hari.
Rakan mangsa yang cedera parah di bahagian badan, dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), manakala pemandu kenderaan terbabit tidak cedera.
Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang memakai kasut sejurus mereka selesai solat secara berjemaah, sebelum secara tiba-tiba dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan. – MalaysiaGazette
















