KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Persiaran Putra Perdana, Putra Heights di Subang Jaya, 8 April lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.53 pagi pada hari sama.
“Siasatan mendapati, mangsa berusia 32 tahun menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar berwarna merah sedang bergerak lurus di laluan tengah dari arah Putra Height menghala ke One City.
“Mangsa telah terjatuh di lorong kiri akibat dihimpit dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire warna putih lalu dilanggar sebuah lori yang sedang bergerak lurus di lorong sama.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-464222,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















