Antara yang terlibat dalam pelepasan 200,000 benih udang galah

KUALA LUMPUR – Sebanyak dua ratus ribu benih udang galah dilepaskan ke Sungai Sedili Besar di Kampung Gembut, Johor dalam usaha memulihara sumber perikanan sungai serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi, Jabatan Perikanan Negeri Johor serta komuniti setempat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang menyifatkan Sungai Sedili Besar sebagai kawasan berpotensi tinggi dengan ekosistem air tawar yang masih terpelihara.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memotong riben gimik pelancaran majlis pelepasan benih udang galah di Sungai Gembut, Kota Tinggi

Menurut beliau, kawasan itu mempunyai sistem sungai yang kaya dengan biodiversiti, sekali gus menjadikan usaha pemuliharaan seperti pelepasan benih amat penting bagi memastikan kelestarian sumber untuk generasi akan datang.

“Pada penghujung tahun lalu, pihak UMT telah membawa beberapa induk udang galah dari Sungai Gembut ke hatcheri universiti untuk pembiakan terkawal sebelum berjaya menghasilkan 200,000 benih untuk dilepaskan semula secara berperingkat,” katanya.

Tambah beliau, udang galah merupakan spesies air tawar bernilai komersial tinggi dan mempunyai permintaan kukuh di pasaran, sekali gus berpotensi membantu nelayan sungai serta pengusaha kecil menjana pendapatan tambahan.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, program berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti dalam usaha memulihara biodiversiti perairan.

Katanya, UMT sebagai peneraju dalam bidang kelautan dan sumber akuatik telah melaksanakan pelbagai projek pelepasan benih di seluruh negara termasuk di Bukit Mentok (Kemaman), Bagan Lalang (Sepang), Sedili (Kota Tinggi), Merchang Wetland serta Sungai Nyatoh (Setiu).

Selain pelepasan benih, program tersebut turut menampilkan pameran pendidikan berteraskan sumber perikanan dan inovasi bioteknologi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sumber secara lestari.

Dalam pada itu, UMT melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) turut membawa 10 mahasiswa Skuad Lasykar Alam@UMT untuk berkongsi projek kelestarian bersama komuniti.

Antara inisiatif diketengahkan termasuk penghasilan baja kompos daripada sisa makanan, bio racun untuk sistem akuaponik serta penggunaan mikroorganisma berkesan (EM) dalam pertanian dan penternakan.

Program berkenaan dilihat sebagai model kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan komuniti dalam mengurus sumber alam secara mampan.

Selain memperkukuh populasi udang galah, inisiatif itu juga berpotensi menjadikan Sungai Gembut sebagai lokasi tumpuan ekopelancongan, pendidikan alam sekitar serta pemuliharaan biodiversiti sungai pada masa hadapan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast