PELABUHAN KLANG – Sebanyak 231 kontena telah diambil tindakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sepanjang tempoh dari Januari hingga Mac tahun ini.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua kontena itu melibatkan nilai keseluruhan dagangan mencecah RM36.2 juta.
Ia dikesan melalui hasil pemeriksaan bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Secara keseluruhan, AKPS telah mengenakan tindakan penguatkuasaan dari Januari hingga Mac melibatkan 231 kontena dengan nilai keseluruhan RM36,243,214.11.
“Berdasarkan jumlah nilai keseluruhan, Februari merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM18.9 juta berbanding Jan (RM8.8 juta) dan Mac (RM8.4 juta),” katanya sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang Utara hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kes melibatkan MAQIS mencatat nilai tertinggi iaitu RM18.89 juta, diikuti KKM (RM11.24 juta) dan JKDM (RM5.95 juta).
Manakala kes berkaitan JKDM hanya akan menghasilkan kutipan semula hasil kepada kerajaan, dan tindakan penguatkuasaan oleh agensi lain lebih bersifat kawal selia.
Nik Ezanee berkata, peningkatan kes sepanjang bulan Februari dipercayai disebabkan beberapa faktor penyumbang termasuk peningkatan aktiviti import ketika musim perayaan.
“Terdapat pelbagai faktor. Ia mungkin disebabkan jumlah dagangan yang lebih tinggi serta penambahbaikan dalam proses pengesanan dan pemeriksaan.
“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai trend peningkatan memandangkan AKPS merupakan agensi yang masih baharu dan kekurangan data perbandingan tahun sebelumnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















