KUALA LUMPUR – HYROX Youngstar Olympia yang berlangsung di London, United Kingdom baru-baru ini melakar sejarah apabila Maryam Marissa Sani Suffian muncul kanak-kanak pertama dari Malaysia yang menyertai cabaran kejohanan lasak itu.
Lebih membanggakan, Maryam Marissa, 11, yang juga Duta Muda Megaklinik Dr Suffian (MKDS) berjaya menamatkan pertandingan untuk kanak-kanak dan remaja berusia lapan hingga 15 tahun dari seluruh dunia yang diadakan sempena HYROX London Olympia.
Antara disiplin yang dilalui anak sulung daripada dua beradik yang membuat penampilan sulung pada pertandingan yang julung diadakan itu adalah menggunakan mesin ski, menolak dan menarik kereta sorong, membawa beban, senaman kekuatan kaki dan senaman penuh fizikal.
“Beliau secara rasminya merupakan anak pertama dari Malaysia yang memasuki dan menamatkan HYROX Youngstar.Satu pencapaian bersejarah. Sesungguhnya sesuatu yang kami amat banggakan.
“Pencapaian ini mewakili lebih daripada sekadar penyertaan. Ia menandakan hasil dunia sebenar pertama Protokol Pengoptimuman Pertumbuhan Kanak-kanak MKDS.
“Maryam merupakan calon pertama yang diletakkan di bawah protokol ini, sistem berstruktur yang mengintegrasikan pemantauan komposisi badan, keseimbangan pemakanan, kebersihan tidur dan pengoptimuman biomarker ke dalam satu pendekatan yang terselaras,” katanya MKDS dalam satu kenyataan.

Maryam Marissa yang merupakan pelajar KYS Kl East International School mula aktif menyertai aktiviti lasak sejak usia tiga tahun dan antara kejohanan yang pernah disertainya adalah Spartan Kids dan Fun Run sejauh lima kilometer (km) ke 10 km.
Sementara itu, MKDS memberitahu, objektif pihak tidak hanya tertumpu pada pertumbuhan atau prestasi fizikal sebaliknya untuk membangunkan fisiologi yang lebih kuat, fokus yang lebih tajam dan ketabahan mental dalam persekitaran yang berstruktur dan selamat.
Kata klinik itu, cara pemimpin masa depan dibina adalah menerusi pendekatan proaktif apatah lagi obesiti dan penyakit metabolik kanak-kanak semakin meningkat di seluruh dunia, dan intervensi awal adalah kritikal.
“Protokol MKDS direka untuk menangani cabaran tersebut dengan metodologi yang dipacu data dan berfokus pada hasil.
“Sebagai ibu bapa, kami melihat perbezaannya di mana anak-anak telah berkembang menjadi individu yang lebih yakin dengan fokus yang lebih baik dan pemikiran yang lebih positif, bukan sahaja terhadap dirinya sendiri tetapi juga terhadap orang di sekelilingnya.
“Tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan sepenuhnya betapa bangganya kami. Ini hanyalah permulaan di mana Protokol Pengoptimuman Pertumbuhan Kanak-kanak MKDS akan terus diperhalusi agar program eksklusif ini akan diperluaskan kepada orang ramai tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, HYROX adalah pertandingan kecergasan global yang menguji kekuatan fizikal, ketahanan mental dan disiplin diri pada tahap tertinggi.
Menggabungkan elemen larian dan latihan fungsional berintensiti tinggi, sukan ini menjadi simbol gaya hidup aktif lelaki yang berani mencabar batas diri. – MalaysiaGazette
















