KUALA LUMPUR – Pemandu Perodua Axia yang terlibat dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan seorang anggota trafik cedera di Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada Jumaat lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Liana Sulaiman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
“Suspek direman mengikut Seksyen 307(2) Kanun Keseksaan, kertas siasatan akan dilengkapkan, sebelum dirujuk semula ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tiindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pemandu yang terlibat kes langgar lari seorang anggota polis trafik di Jalan Sultan Yahya Petra merupakan seorang inspektor yang disahkan menghidap skizofrenia.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, suspek adalah seorang pegawai kanan polis berusia 40 tahun yang kini sedang menjalani cuti perubatan khas.
“Suspek juga dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan selain disahkan mempunyai masalah mental kesihatan iaitu skizofrenia dan sedang menerima rawatan berkaitan.
“Suspek berjaya ditahan selepas dikejar polis dari sekitar Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin di sini pada petang Isnin,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, dalam kejadian sekitar jam 10.47 malam Jumaat, mangsa merupakan Konstabel Roslan Salleh, 27, sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan.
Pemandu kenderaan terbabit bertindak melarikan diri tanpa berhenti untuk memberikan bantuan kepada mangsa.
Mohd Zamzuri dilaporkan berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala selain sakit di bahagian rusuk.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















