KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perbincangan atau ketetapan rasmi dibuat berhubung cadangan penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka buat masa ini susulan konflik Asia Barat.
Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari bagaimanapun berkata, keputusan berkaitan isu itu akan ditetapkan menerusi perbincangan antara Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Buat masa ini, kita masih berurusan seperti biasa, kalau kita tengok di peringkat kerajaan negeri hari ini telah mengadakan Pra-Mesyuarat Persidangan DUN Melaka
“Ia akan bermula hujung April ini dan buat masa ini, kita tak ada lagi respon pada perbincangan itu termasuk dalam pra-mesyuarat dibincangkan tadi,” katanya pada pemberita selepas majlis makan malam bersama media di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, kerajaan ketika ini masih berjalan seperti biasa walaupun berdepan dengan cabaran krisis tenaga dunia.
“Kita tahu terdapat krisis tenaga global tetapi saya fikir sistem ekonomi Malaysia berjalan seperti biasa walaupun ada setengah sektor yang menerima kesan langsung tetapi dasar
subsidi kerajaan itu dapat membantu rakyat.
“Seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini, kerajaan telah menampung RM7 bilion bantuan bahan api pada April ini untuk pastikan rakyat tidak terus terkesan dengan ekonomi, jadi sebab itu kita lihat kerajaan negeri masih belum bincangkan lagi perkara tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka menyokong cadangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negeri.
Ketua AMK Melaka, Hakimin Mokhtar berkata, langkah tersebut wajar dipertimbangkan kerana penganjuran pilihan raya dalam masa terdekat berpotensi mengganggu momentum pemulihan ekonomi yang sedang giat dilaksanakan.
Media juga ada melaporkan, kerajaan perlu menanggung beban subsidi bahan api yang mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan menyebabkan beberapa projek besar yang tidak mendesak ditangguhkan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, peningkatan mendadak kos subsidi itu berpunca daripada kenaikan harga minyak global serta kemampuan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) yang hanya dapat memenuhi sekitar 50 peratus keperluan domestik. – MalaysiaGazette
















