Polis menahan suspek kes curi motosikal dalam Ops Lejang yang dijalankan di daerah Pontian

PONTIAN – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian mencatatkan rekod 61.9 peratus penyelesaian kes kecurian kenderaan bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pencapaian menerusi Ops Lejang tersebut melepasi sasaran yang sudah ditetapkan.

“Dalam tempoh tersebut Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pontian menerima 21 laporan kecurian kenderaan iaitu melibatkan 20 kes curi motosikal dan satu kes mencuri kereta dengan nilai RM60,000.

“Melalui kajian statistik kes di daerah ini, kes kecurian kenderaan berlaku di kawasan perumahan, kawasan kampung dan juga pasar raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tempoh waktu berlaku kes kecurian kenderaan antara pukul 12 tengah malam sehingga 12 tengah hari.

Jelasnya, kajian juga mendapati 13 daripada 21 kes kecurian kenderaan yag dilaporkan, kenderaan ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci.

“Melalui hasil Ops Lejang secara berterusan dan penubuhan pasukan Task Force Lejang Ketua Polis Daerah, berjaya membuat tangkapan 11 lelaki tempatan.

“Enam daripada mereka sudah dituduh di mahkamah, empat lagi bebas dan seorang lagi masih dalam tahanan reman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hadzrat Hussien menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan dalam keadaan tidak berkunci atau kunci ditinggalkan pada motosikal atau kereta.

Orang ramai katanya, perlu ambil langkah sewajarnya dalam aspek pencegahan dan penjagaan kenderaan bagi mengelak unsur kecuaian serta kecurian berlaku.

Tambahnya, sebarang maklumat mengenai kes kecurian kenderaan boleh disalurkan kepada bilik gerakan IPD Pontian melalui talian hotline 07-687 1222 dan 07-686 9999.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast