SEPANG – Tabung Haji (TH) pada kali ini membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan konflik di Asia Barat.
Menurut Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447H/2026M, Mohd Norber Kassim keselamatan, perlindungan insurans dan kelancaran operasi bagi musim haji kali ini sepenuhnya di bawah pengurusan dan tanggungjawab TH.
“Sememangnya telah pun bersiap sedia dengan pelan bencana, yang mana sebelum ini pun sebelum krisis peperangan ini pun TH memang telah ada SOP (prosedur operasi standard), kita telah ada pelan.
“Jadi pelan ini (pelan sedia ada), insya-Allah akan kita sesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan yang berlaku. Kita doakan semoga semua urusan haji dapat berjalan lancar sebagaimana yang telah dirancang,” katanya selepas taklimat operasi haji tanah air (OHTA) di sini hari ini.
Jelas Mohd Norber, TH sentiasa memantau perkembangan semasa dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan urusan ibadah haji berjalan lancar.
Katanya lagi, TH juga mempunyai pelan bencana dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan disesuaikan mengikut keadaan semasa.
“Tabung Haji sememangnya telah pun bersiap sedia dengan pelan bencana yang mana sebelum ini pun, sebelum krisis peperangan ini pun Tabung Haji memang telah ada SOP, telah ada pelan bencana ini.
“Jadi pelan ini insya-Allah akan kita sesuaikan dari masa ke semasa berdasarkan keadaan yang berlaku,” katanya.
Selain itu, Mohd Norber menambah, TH turut mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara serta berhubung dengan Kerajaan Arab Saudi berhubung situasi semasa.
“Ini melibatkan pihak kerajaan Malaysia sendiri mendapatkan nasihat daripada pihak Majlis Keselamatan Negara begitu juga dengan pihak kerajaan Arab Saudi di sini.
“Jadi, Tabung Haji telah pun mendapat pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa haji akan diteruskan sebagaimana biasa. Jadi oleh sebab itu kita akan teruskan sebagaimana perancangan menguruskan haji pada tahun ini,” ujarnya.-MalaysiaGazette
















