PONTIAN – Tidak sampai 24 jam mencuri sebuah motosikal di tepi Jalan Utama 3, Taman Utama, Pekan Nanas di sini pagi semalam, seorang lelaki tempatan diberkas di Kluang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya menerima laporan sebuah motosikal hilang di jalan tersebut pada pukul 10.50 pagi.
“Susulan itu satu serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Pasukan Task Force Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di kawasan perumahan Taman Murni, Kluang pada pukul 8.45 malam.
“Hasil daripada operasi berkenaan, seorang lelaki berusia 34 tahun ditangkap dan sebuah motosikal curi dan sebatang anak kunci dirampas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga tujuh tahun serta boleh dikenakan denda bagi kesalahan mencuri kenderaan dan komponen kenderaan.
Tambahnya, suspek juga disiasat bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda dan pengawasan polis selama dua tahun.- MalaysiaGazette
Polis menahan seorang lelaki selepas mencuri motosikal di Taman Utama, Pekan Nanas, Pontian, malam tadi
















