Nurfatimah Ibrahim

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan aplikasi PriceCatcher ditambah baik supaya rakyat dapat memanfaatkan sepenuhnya dalam memerangi kenaikan harga barang yang melampau ketika ini.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pejuang Johor, Nurfatimah Ibrahim berkata, beberapa penambahbaikan strategik termasuk memperluaskan liputan data dengan penglibatan lebih banyak premis perniagaan termasuk di kawasan luar bandar perlu dilakukan.

“Begitu juga mengautomasi kemas kini harga melalui integrasi sistem jualan (POS) serta menambah ciri interaktif seperti notifikasi perubahan harga dan integrasi dengan program bantuan subsidi rakyat.

“Penambahbaikan daripada segi antara muka pengguna juga wajar dilaksanakan bagi memastikan aplikasi lebih mesra pengguna dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cadangan penambahbaikan tersebut wajar kerana aplikasi berkenaan mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian serius.

Beliau memberitahu, antaranya liputan data harga yang masih tidak menyeluruh, kemas kini harga yang tidak konsisten serta kadar penggunaan aktif yang masih rendah berbanding jumlah muat turun.

Selain itu katanya, antaramuka dan fungsi aplikasi yang terhad turut menjejaskan pengalaman pengguna dan keberkesanan aplikasi dalam jangka panjang.

Menurutnya, aplikasi itu yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah sebagai satu langkah memerangi kenaikan harga barang.

Jelasnya, aplikasi itu merupakan satu inisiatif penting yang membolehkan rakyat mengakses maklumat harga barang kawalan secara telus termasuk beras, gula, minyak masak, tepung, ayam dan telur, serta membuat perbandingan harga antara premis perniagaan berlesen mengikut lokasi masing-masing.

Aplikasi berkenaan katanya, turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengguna termasuk maklumat Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) serta saluran aduan untuk melaporkan peniaga yang melanggar peraturan harga kawalan.

Kelebihan itu katanya, menjadikan aplikasi tersebut sebagai alat kawalan pasaran digital yang berpotensi besar dalam meningkatkan ketelusan dan membantu rakyat membuat keputusan pembelian dengan lebih bijak.

Dalam masa sama, Pejuang Johor menegaskan bahawa harga barang kawalan tidak sepatutnya dimanipulasi oleh mana-mana pihak, memandangkan diesel sudah menerima subsidi kerajaan khusus untuk peniaga berdaftar.

Subsidi tersebut bertujuan memastikan kos operasi kekal terkawal dan harga barangan asas terus berada pada tahap mampu milik, kata Nurfatimah lagi.

“Oleh itu, sebarang tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah adalah tidak bertanggungjawab, menekan rakyat, dan perlu ditangani dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Akhir sekali, Pejuang Johor menyeru agar semua pihak termasuk kerajaan, peniaga dan rakyat berganding bahu dalam memastikan keberkesanan penggunaan aplikasi ini,” katanya.

Tambahnya, aplikasi itu bukan sekadar panduan harga, tetapi merupakan satu instrumen penting bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat dan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Dengan penggunaan yang meluas dan kesedaran yang tinggi, kita mampu membina sebuah ekosistem pasaran yang lebih adil, telus dan berpihak kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast