KUALA LUMPUR – Melalui Program Ziarah Kasih, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 yang memperoleh keputusan 8A, Nur Surfina Arissa Shukri Abdullah di Pulau Pinang.
Wakil PTPTN menziarahi di kediaman Nur Surfina di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat dan penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang,
Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Nur Surfina Arissa Shukri merupakan anak tunggal dalam keluarga yang baru sahaja kehilangan ibu tersayang, Allahyarhamah Suriati Dollah pada tanggal 16 Mac 2026 iaitu tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri akibat penyakit kanser.
Dalam pada itu, Norliza berkata, PTPTN pada hari ini terpanggil untuk menyalurkan sumbangan CSR berjumlah RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Sumbangan yang diberikan bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar untuk persediaan awal melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Ujian kehilangan ibu pastinya memberi kesan yang amat mendalam dan menjadi cabaran besar buat beliau dalam meneruskan kehidupan dan mengejar cita-cita tanpa kehadiran insan tersayang di sisi.
“Justeru, PTPTN berharap sumbangan ini dapat menjadi pemangkin semangat beliau untuk terus melangkah ke hadapan demi masa depan yang lebih cemerlang.” tambahnya.
Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan untuk manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.
Sempena Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).
Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.
Selain itu, Simpan SSPN Plus juga menawarkan enam pakej serendah RM30 sebulan (Pakej Intan) hingga RM500 sebulan (Pakej Berlian) dengan manfaat perlindungan takaful ke atas pendeposit sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak serta perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terutama dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.
PTPTN terus memperkukuh komitmennya melaksanakan CSR menerusi pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan pelajar.
Program Ziarah Kasih PTPTN merupakan salah satu inisiatif bertujuan menyantuni golongan asnaf serta mempererat hubungan dengan komuniti melalui pendekatan penuh keprihatinan. – MalaysiaGazette
















