Ahmad Maslan menerima cenderahati dalam lawatan turun padang tinjau penyelenggaraan infrastruktur dan projek pembangunan di daerah Johor Bahru bersama Timbalan Menteri Kerja Raya di Dewan Mohd Said, Pejabat JKR Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan 91 projek pembinaan bilik darjah di 70 buah sekolah seluruh negara dengan kos RM80 juta sebagai langkah menangani isu sekolah padat yang ramai murid.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pembinaannya akan menggunakan kaedah modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan peruntukan itu disalurkan daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Seramai 70 kontraktor dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan yang turut meliputi sekolah di Sabah dan Sarawak. Projek-projek ini dilaksana dengan kerjasama KPM bawah inisiatif ‘Quick Win’.

“Projek ini dinamakan ‘Quick Wind’, agar pembinaanya lebih cepat dan manfaat segera dapat dirasai (pelajar),” katanya mengulas mengenai projek pembinaan bilik darjah menggunakan kaedah itu

Beliau berkata demikian dalam lawatan turun padang tinjau penyelenggaraan infrastruktur dan projek pembangunan di daerah Johor Bahru bersama Timbalan Menteri Kerja Raya di Dewan Mohd Said, Pejabat JKR Johor Bahru di sini hari ini.

Ahmad berkata, walaupun itu melibatkan projek kecil, tetapi berkepentingan tinggi kerana akan mengatasi isu kesesakan bilik darjah khususnya di sekolah-sekolah kawasan bandar yang ramai penduduk.

Tambahnya, sebanyak 12 projek ‘Quick Win’ tersebut dilaksanakan di sekolah-sekolah sekitar daerah ini susulan peningkatan jumlah kepadatan penduduk sejak beberapa tahun lalu.

Mengenai dakwaan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) bahawa 4,100 kontraktor berdepan risiko gulung tikar kerana kenaikan harga diesel, Ahmad berkata, kerajaan cuba membantu semua pihak termasuk mereka yang terlibat sektor pembinaan kerana banyak pihak terjejas.

Katanya, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini juga ada mengumumkan beberapa perkara termasuk memperluas peluang kepada kontraktor tempatan kontraktor kecil dan sederhana.

Jelasnya, ini membabitkan kerja penyenggaraan, baik pulih dan projek berskala sesuai, agar mereka terus mempunyai aliran kerja dan tidak terpinggir ketika kos operasi meningkat.

Ujarnya, kerajaan sedang berusaha membantu semua sektor dalam negara susulan isu kenaikan harga barangan akibat ketegangan di Asia Barat tidak hanya melibatkan industri pembinaan semata-mata.

“Kementerian telah umumkan lima langkah yang akan diambil bagi mengatasi kenaikan kos sektor pembinaan termasuklah pelan tindakan segara, percepatkan pembayaran projek serta mengurangkan skop kerja berbanding kos projek.

“Sebagai contoh, peruntukan RM500,000 sebelum ini digunakan bagi pembinaan 1,000 meter jalan, namun kita akan kaji kesesuaian untuk mengurangkan jarak itu kepada 900 meter bagi peruntukan RM500,000,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast