KUALA LUMPUR – Ahli kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam jenayah kekerasan di sekitar kawasan kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan, Sarawak diberkas dalam Ops Pusak Merah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu berkata, seramai 21 lelaki warga tempatan berumur antara 19 hingga 44 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan.
Katanya, kesemua yang ditangkap terlibat dengan jenayah tersebut sejak 2024.
“Semakan awal polis mendapati tangkapan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau seperti merusuh, mendatangkan cedera parah, samun, khianat dan jenayah dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua suspek kini direman enam hari sehingga 20 April di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Tambahnya, usaha mengesan dan menangkap beberapa individu yang terlibat masih giat dijalankan.
Terdahulu, menurut M. Kumar, operasi tersebut dilaksanakan sebagai usaha JSJ untuk melumpuhkan sindiket yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemerasan, mendatangkan cedera parah dan merusuh dengan senjata sehingga mendatangkan kegusaran penduduk setempat .- MalaysiaGazette
















