Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mempengerusikan mesyuarat dalam lawatan turun padang tinjau penyelenggaraan infrastruktur dan projek pembangunan di daerah Johor Bahru di Pejabat JKR Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM91.38 juta untuk sembilan projek pembinaan bangunan di daerah ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Menurutnya, sementara dua projek lagi yang bernilai RM73 juta adalah di bawah peruntukan kerajaan negeri.

“Kesemua projek berkenaan merangkumi pembinaan sekolah termasuk penambahan bilik darjah dan bilik pendidikan khas serta dewan, pejabat agensi kerajaan, tadika serta kemudahan awam lain.

“Sebanyak RM35 juta pula diperuntukkan bagi 10 projek membabitkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan bangunan sekolah serta pejabat agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan turun padang tinjau penyelenggaraan infrastruktur dan projek pembangunan di daerah Johor Bahru di Dewan Mohd Said, Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru di sini hari ini.

Katanya, sejak awal tahun sehingga bulan ini, JKR Daerah Johor Bahru sudah menerima peruntukan RM12 juta berbanding RM6 juta pada 2025, khusus untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu merangkumi kerja pembaikan permukaan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan perabot jalan dan papan tanda bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

“Sebanyak dua projek jalan negeri juga sedang dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM80.46 juta,” katanya.

Menurutnya, hasil tinjauan mendapati pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan projek pembangunan berjalan mengikut perancangan dengan pemantauan berterusan bagi memastikan semua projek disiapkan mengikut jadual, kos dan kualiti ditetapkan.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, hampir RM300 juta peruntukkan di bawah kerajaan Persekutuan dan negeri disalurkan bagi projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur di sekitar daerah ini.

KKR memaklumkan, antaranya membabitkan penyelenggaraan jalan Persekutuan kira-kira 222 kilometer dan jalan negeri sepanjang 197 kilometer.

“Bagi tahun ini sehingga April, JKR Daerah Johor Bahru menerima peruntukan sebanyak RM12 juta berbanding RM6 juta pada tahun lalu.

“Peruntukan tersebut khusus bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan termasuk pembaikan permukaan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan perabot jalan dan papan tanda bagi meningkatkan ciri keselamatan pengguna,” maklum kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, dua projek jalan negeri turut dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM80.46 juta bagi menambah baik rangkaian jalan serta memperkukuh sistem perhubungan di kawasan bandar raya ini.

“Dalam masa sama, sembilan projek bangunan di bawah peruntukan Persekutuan sedang dilaksanakan dengan nilai RM91.38 juta, manakala dua projek di bawah peruntukan kerajaan negeri bernilai RM73 juta.

“Projek berkenaan melibatkan pembinaan sekolah termasuk penambahan bilik darjah dan bilik pendidikan khas, dewan sekolah, pejabat agensi kerajaan, tadika serta kemudahan awam lain,” jelas kenyataan itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast